19 Nov 2009

Buku "Quranic Law Of Attraction"




Judul : Quranic Law Of Attraction

Penulis : Rusdin S. Rauf

Penerbit : PTS Milenia Sdn Bhd



KANDUNGAN

KATA PENGHANTAR

PENGHARGAAN

BAB 1 PERMULAAN UNTUK MENGETAHUI

BAB 2 PUSAT-PUSAT TENAGA DALAM QURAN

BAB 3 GANDINGAN TENAGA DOA, SYUKUR DAN SABAR

BAB 4 QURAN MENJAWAB KEINGINAN-KEINGINAN SAUDARA

BAB 5 CARA SAUDARA BERTINDAK BALAS DENGAN QURAN

BIBLIOGRAFI

TENTANG PENULIS




ULASAN



"Dan mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri" - Surah Al-Furqan (Ayat 64).

Ini merupakan ayat pertama yang dibaca apabila saya membuka Al-Quran secara rambang mengikut kaedah yang diajar di dalam buku Quranic Law Of Attraction. Memang benar, sesiapa yang mengerjakan ibadat di waktu malam dengan melakukan solat tahajjud, berselawat, membaca Al-Quran mahupun berzikir akan memperolehi ketenangan dan kehidupan yang aman dan tenteram. Jiwa dan pemikiran sentiasa dipenuhi dengan pemikiran yang positif sehingga mampu mengubah kehidupannya.

Saya membeli buku ini setelah dicadangkan oleh salah seorang fasilitator Seminar Law of Attraction yang dikendalikan oleh Michael Losier di Royal Bintang, Seremban. Pelik tetapi benar. Individu yang mencadangkan bukanlah seorang Islam mahupun Melayu di mana beliau seorang berketurunan India. Beliau menyuruh saya membeli buku ini dengan menyatakan ianya bagus untuk dibaca di mana ia menggambarkan apa yang diterangkan oleh Michael Losier mengikut Hukum Tarikan. Beliau juga memberitahu saya bahawa orang Islam sepatutnya berasa untung kerana kita telah diajar mengenai Hukum Tarikan ini oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kata-kata beliau membuat saya terdiam seketika.

Adakah benar apa beliau perkatakan? Ini mendorong saya membeli buku ini kerana saya ingin mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Nyata benar. Sebenarnya sebagai seorang Islam, kita sentiasa diajar agar bersyukur, redha dan berfikiran positif di dalam kehidupan. Pelbagai kaedah yang boleh dilakukan bagi menghilangkan perasaan sedih, takut ataupun jua perasaan yang wujud di dalam diri kita.

Kebiasaannya kita memang sering mengucapkan perkataan redha apabila berlaku sesuatu di dalam kehidupan kita. Namun begitu, pada masa yang sama kita juga bercerita dengan orang lain, mengeluh dan merintih  dengan kesusahan dan kepayahan yang kita alami. Ini menjadikan kita semakin susah hati sehingga menyebabkan kita hilang keyakinan. Di dalam Hukum Tarikan, pemikiran positif difikir bersama-sama pemikiran negatif, ianya akan menghasilkan suasana atau keadaan yang negatif.

Bukan setakat itu sahaja, kadangkala kita merasakan doa kita tidak pernah dikabulkan oleh ALLAH swt sehingga menyebabkan kita merasakan kecewa dan beranggapan ALLAH tidak menyayangi kita. Jika ini berlaku, ini bermakna kita telah menarik tenaga negatif di dalam diri kita. Doa tidak dikabulkan mungkin terdapat beberapa seperti :-

  1. Kita berdoa agar beroleh kebaikan di dalam masa yang sama kita melakukan kejahatan. Kebaikan dan kejahatan tidak boleh dilakukan serentak seumpama air dan minyak tidak boleh bersatu atau disatukan.
  2. Ucapan doa di mulut tidak selari atau tidak sama dengan ucapan doa di hati. Kadangkala kita berdoa untuk mendapatkan "A" tetapi mendapat "B". Ini berlaku kemungkinan hati kita inginkan "B" walaupun ucapan kita berdoa untuk mendapatkan "A".
  3. ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. ALLAH tidak kabulkan doa kita mungkin kerana sekiranya dikabulkan, ianya akan membawa keburukan pada diri kita. Pasti ada hikmah setiap apa yang berlaku.


Ini sama dengan apa yang diterangkan di dalam Law of Attraction di mana positif + negatif = kosong. Kita bukan saja tidak akan memperolehi sebarang kebaikan malah ia akan menarik keburukan.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan para pembaca harus memiliki buku ini dan pratikkan mengikut keupayaan dan kemampuan masing-masing. Insya ALLAH pasti akan ada perubahan yang berlaku di dalam kehidupan kita. Hanya kita yang menentukan sama ada kita ingin berubah ataupun tidak.

Buku ini dijual di MPH dan Popular atau boleh dibeli secara online melalui laman web http://www.bookcafe.com.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan