22 Mei 2010

Buku "Pemilikan Dan Pentadbiran Tanah Adat 1800 - 1960"



Judul : Pemilikan dan Pentadbiran Tanah Adat 1800 - 1960

Penulis : Nadzan Haron

Penerbit : Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri, Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan

Mukasurat : 234


Sinopsis

Buku ini merupakan Latihan Kajian Ilmiah Ijazah Sarjana Muda yang telah diubahsuaikan untuk penerbitan di mana ia menerangkan mengenai sistem pemilikan dan pentadbiran tanah adat pada tahun 1800 - 1960  bermula sistem pemilikan secara tradisional, kemasukan Inggeris sehinggalah merdeka dan juga implikasi-implikasi sistem yang diperkenalkan oleh Inggeris.
Di dalam Adat Perpatih terdapat lima prinsip yang berkaitan dengan sistem pentadbiran tanah iaitu :-

1. Keturunan dikira melalui nasab ibu.

Oleh kerana Adat Perpatih mengamalkan sistem matrilineal maka kaum perempaun telah diberikan kedudukan dan keistimewaan di mana akan dianggap sebagai 'Bonda Kandung', ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya. Oleh yang demikian, tanggungjawab ke atasnya dari segi adat terletak pada keluarga ibu.



2. Pola-pola tempat kediaman selepas berkahwin adalah di kawasan ibu isteri.

Oleh kerana masyarakat Adat Perpatih mengamalkan sistem matrilocal maka lelaki yang telah berkahwin dikehendaki meninggalkan tempat asalnya dan menetap di kawasan ibu isteri. Ini bertujuan untuk menjaga maruah isteri terjamin apabila berlakunya perceraian. Walaupun suami merupakan orang semenda, beliau masih mempunyai kata putus di dalam beberapa perkara. Isteri biasanya patuh kepada keputusan yang dibuat oleh suami kerana sebarang keputusan yang ingin dibuat, suami akan meminta buah fikiran isteri.


3. Perempuan mewarisi pesaka, lelaki menyandang saka

Adat menetapkan bahawa hanya lelaki yang berhak menyandang saka atau memegang jawatan ketua adat tetapi tidak dibenarkan mewarisi tanah pesaka. Manakala perempuan hanya berhak mewarisi tanah pesaka dan mewariskan pula harta tersebut. Perempuan tidak mempunyai hak untuk menyandang saka mahupun jawatan ketua adat.


4. Perkahwinan seperut dan sesuku adalah dilarang

Adat Perpatih melarang keras ahli-ahlinya berkahwin seperut kerana adat menganggap antara ahli-ahli adalah sebuah keluarga. Ini merupakan salah satu kesalahan berat dan hukuman terhadap pelakunya juga adalah amat berat. Mereka akan disingkir dari dan tidak dibenarkan mewarisi pesaka dan menyandang saka. Namun begitu, perkahwinan sesuku dibenarkan dengan beberapa syarat-syarat yang telah ditetapkan.


5. Adat membenarkan orang luar menjadi anggota perut tertentu dan juga anggota adat yang ingin bertukar suku. Kedua-dua ini adalah sah dari segi adat setelah diadakan istiadat berkedim.

Kedim bermaksud seseorang individu menjadi anggota suku yang tertentu. Ini berlaku sama ada tiada anak perempuan dan mengambil anak angkat dari suku lain mahupun masyarakat luar. Anak angkat ini diterima sebagai anggota suku ibu angkatnya setelah istiadat berkedim. Berkedim juga bolhe berlaku sekiranya berlaku perkahwinan sesama suku. Taraf kedim boleh dibahagikan kepada tiga iaitu kedim adat dan pusaka, kedim pada Lembaga dan kedim tarik.

Kelima-lima prinsip ini menjadi asas bagaimana pemilikan tanah adat dilakukan di Negeri Sembilan. Pada peringkat awal pemilikan tanah diuruskan oleh Lembaga, Buapak dan waris-waris suku. Masyarakat Adat Perpatih amat menghargai tanah kerana kebergantungan mereka terhadap pertanian. Bagi masyarakat Adat Perpatih, pertanian merupakan sumber ekonomi yang menentukan taraf kehidupan mereka. Sifat kekeluargaan dan kepercayaan di kalangan masyarakat Adat Perpatih amat tinggi di mana tiada sistem ukuran tanah, pandaftaran dan tiada dokumen hakmilik. Kekeliruan mula berlaku apabila kemasukan Inggeris dan memperkenalkan sistem tanah yang baru sehingga menyulitkan di dalam penentuan taraf tanah adat manhupun bukan tanah adat. 

Buku ini menerangkan bermula dari sistem pemilikan tanah mengikut peraturan adat sehinggalah  enakmen-enakmen tanah yang telah diperkenalkan oleh British bermula dengan Land Regulation, 1887 yang diperkenalkan oleh Pentadbir Tanah Sungai Ujong. Buku ini amat bagus untuk individu yang terlibat secara lansung dengan tanah adat, pengamal-pengamal adat dan individu yang ingin mengetahui mengenai sistem tanah adat di Negeri Sembilan.


Kandungan :

PENGENALAN

BAB 1
Pemilikan dan Pentadbiran Tanah Di Bawah Sistem Tradisional

BAB 2
Pengenalan Sistem Torrens dan Enakmen-Enakmen Pentadbiran Tanah Adat

BAB 3 
Kedudukan Dan Peranan Ketua Adat Dalam Pentadbiran Tanah

BAB 4
Implikasi Dari Statut Pemilikan Tanah Dan Pentadbiran

Kesimpulan

Bibliografi

Lampiran



Harga : RM35.00

UNTUK TEMPAHAN, SILA KLIK.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan